Friday, June 19, 2009

Kerajaan Perpaduan

Mengikut fakta sejarah, PAS pernah berkerjasama dengan UMNO tetapi sesuatu telah berlaku menyebabkan PAS keluar daripada pakatan itu. Semua sedia maklum peristiwa ini.

Itu fakta sejarah, bukannya mahu mengungkit kisah silam tetapi melalui sejarah kita akan dapat mempelajari kesilapan dan mengharapkan perkara itu tidak akan berulang kembali. Kita patut positif dalam hal ini. Sebagai contoh, kita dulu pernah dijajah oleh bangsa asing akibat daripada tindakan dan kesilapan sendiri. Fakta ini tidak akan dapat diubah tetapi menjadi pengajaran yang cukup berharga. Untuk mengelak supaya kita dijajah semula, semua pihak hendaklah menjaga dan mempertahankan negara ini dan mengukuhkan ikatan perpaduan sesama kita disamping taat setia yang tidak berbelah bagi.

Dalam kita merancang untuk membuat pakatan antara UMNO dan PAS ini, banyak faktor yang perlu diteliti dan dikemas kini. Tujuan kerajaan perpaduan ini dibuat mestilah jelas akan misi dan visinya. Kedua belah pihak hendaklah mengenepikan perselisihan masing-masing dalam politik umpamanya dan menumpukan perhatian akan isu-isu yang lebih besar daripada mempertahankan ideologi politik semata. Sekiranya perbincangan ini untuk mencari jalan agar semua rakyat dapat bersatu dan mencari jalan untuk meningkatkan pencapaian ekonomi negara, maka perbincangan dan pakatan ini akan berjaya.

Biarlah langkah pertama mewujudkan Kerajaan Perpaduan ini dibuat dalam skala kecil diantara UMNO-PAS dan kita lihat apa kesudahannya. Kita mengharapkan yang terbaik diantara kedua pihak dan diharap agar Kerajaan Perpaduan ini akan membuka mata sesetengah pihak yang menentang bahawa perkara ini boleh dilaksanakan sekiranya kedua pihak boleh berkerjasama untuk tujuan yang murni.

Apa yang patut kita lihat daripada idea ini ialah kebaikkan yang dibawa kepada rakyat dan negara kerana Malaysia akan maju sekiranya rakyat dan pentadbirannya maju dan kukuh. Semua pihak hendaklah memberi peluang untuk melihat rancangan ini berlaku. Kita juga hendaklah melihat isu ini dalam skop yang lebih besar dan bukannya hanya mahu melihat parti sahaja. Perkara in tidak boleh dikatakan hanya untuk tindakan dato' Seri Najib dan Tuan Guru Haji Hadi sahaja tetapi hendaklah dilihat sebagai agenda semua.

Sekiranya kita berjaya melahirkan kerajaan perpaduan ini dan kukuh, maka kita telah berjaya mencorak sejarah kita di abad ke-21 ini. Insyallah.

No comments:

Post a Comment